• Kabus Tebal Di India, Jejas Penerbangan, Kereta Api

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    NEW DELHI - INDIA. Kabus tebal yang menyelubungi ibu negara India telah menjejaskan perkhidmatan penerbangan dan kereta api di bandar raya itu, lapor agensi berita Xinhua.

    Sekurang-kurangnya 20 penerbangan pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi terjejas, manakala lebih 50 perkhidmatan kereta api turut tergendala apabila suhu menurun sehingga mencecah 5.7 darjah celcius.

    "Sebanyak 20 penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa ditangguhkan kerana jarak penglihatan yang rendah," kata seorang pegawai kanan penerbangan.

    Tambah pegawai itu, operasi penerbangan akan disambung sebaik keadaan kembali seperti sediakala.

    Sementara itu, seorang pegawai kanan India Railway berkata, kira-kira 50 perkhidmatan kereta api ditangguhkan atau dijadualkan semula di dua stesen keretapi utama iaitu New Delhi dan Old Delhi.

    Sejak Ahad, beberapa penerbangan di New Delhi terjejas, akibat paras penglihatan landasan menurun di bawah 50 meter.

    Masalah kabus tebal adalah perkara biasa di utara India, terutamanya di musim sejuk seperti pada Disember dan Januari, keadaan itu menjadi antara punca berlakunya banyak kemalangan jalan raya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kabus Tebal Di India, Jejas Penerbangan, Kereta Api "