• Juruterapi Tak Mengaku Tipu

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    AYER KEROH: Seorang juruterapi pergigian di sebuah klinik kesihatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menawarkan dua MyKad tidak wujud, bernilai RM35,500, tiga tahun lalu.

    Grace P Sanggang, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Norina Maludin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Ong Kim Hock, 36, untuk memberikan sejumlah RM35,500 ke akaun Maybank miliknya, sebagai dorongan untuk mendapatkan dua MyKad yang tidak wujud.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Melaka Raya pada 3 hingga 23 November 2015 lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan sebat serta boleh dikenakan denda.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguambela, Gan Seong Kim memohon jaminan dikurangkan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Juruterapi Tak Mengaku Tipu "