• Jurujual Hampir Terpedaya Sindiket Macau Scam

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: Jurujual di sebuah pasar raya nyaris kehilangan wang simpanan berjumlah RM30,000, selepas menerima panggilan telefon daripada sindiket Macau Scam.

    Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hasliza, 45, berkata menerusi panggilan itu, dia dituduh terbabit dalam jenayah dadah jenis syabu sebanyak 16 kilogram (kg) dan mempunyai tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM16,000.

    Katanya, panggilan itu diterima jam 3 petang semalam ketika berada di tempat kerjanya di Jerteh, Terengganu dari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kastam.

    "Pemanggil mengatakan saya ada tunggakan GST atas pembelian 103 unit telefon bimbit jenama Samsung di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 2007.

    "Saya tidak mengaku namun, pemanggil membacakan butir mengenai saya dan semuanya tepat membuatkan saya berasa takut sebelum dia terus membuat provokasi.

    "Pemanggil berkenaan kemudian menyambungkan panggilan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan dari situ pula seorang 'inspektor' memberitahu bahawa ada seorang bekas kakitangan sebuah bank, menggunakan akaun bank saya untuk pembelian dadah jenis syabu seberat 16kg," katanya ketika ditemui di sini.

    Hasliza yang berasa takut memberitahu pemanggil untuk merujuk kepada anaknya yang juga seorang anggota polis namun, dihalang pemanggil dengan alasan khuatir akan menjejaskan imej anak mangsa.

    Dalam perbualan selama setengah jam itu juga, mangsa ditanya mengenai jumlah akaun bank yang dimiliki, kononnya untuk tujuan pembekuan dan Hasliza memberitahu hanya memiliki akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) saja.

    "Sebaik ditanya mengenai akaun bank, hati saya mula terdetik sesuatu dan terus teringatkan kejadian yang menimpa Datuk Seri Vida yang nyaris ditipu Macau Scam baru-baru ini.

    "Saya segera memutuskan panggilan telefon dan tidak lama kemudian menerima surat mahkamah melalui aplikasi WhatsApp berhubung perintah penangkapan dan pembekuan aset," katanya yang terus menghubungi rakan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu malam tadi.

    Beliau berkata, dia yakin ramai lagi yang menjadi mangsa, selain menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan itu.

    Subjects:

  • No Comment to " Jurujual Hampir Terpedaya Sindiket Macau Scam "