• Judi Awal Tahun, Polis Sarawak Tangkap 75 Individu Disyaki Terlibat Perjudian Haram

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+





    KUCHING: Tujuh hari pertama tahun 2018 menyaksikan ketegasan berterusan pihak Polis Sarawak dalam membenteras aktiviti perjudian haram di negeri apabila berjaya menahan seramai 75 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, dari 1 hingga 7 Januari 2018, JSJ negeri melancarkan sebanyak 27 serbuan terhadap aktiviti perjudian dan berjaya menangkap 75 individu. Antaranya, 10 serbuan di kedai serbaneka dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai judi dalam talian.

    Menurutnya, serbuan dilakukan pasukan dari JSJ Ibu Pejabat dan JSJ Daerah seperti; JSJ IPK - 5 serbuan, Kuching - 4 serbuan, Miri - 4 serbuan, Padawan - 4 serbuan, Sibu - 2 serbuan, Limbang - 2 serbuan, Bintulu - 1 serbuan, Sri Aman - 1 serbuan, Sarikei - 1 serbuan, Kota Samarahan - 1 serbuan, Bau – 1 serbuan dan Mukah - 1 serbuan.

    Beliau menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan, usaha membenteras perjudian dalam talian diperhebat dengan serbuan dijalankan di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai kepada penjudi dalam talian.

    “10 serbuan dilakukan di 6 daerah (Kuching, Padawan, Miri, Bintulu, Sri Aman dan Limbang) yang menyaksikan penangkapan 21 penyedia perkhidmatan dan penjudi dan penyitaan 17 tablet dan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,934,” katanya

    Mengulas lanjut, beliau mendedahkan satu serbuan terbesar dilakukan di sebuah gelanggang sabung di Batu Niah, Miri.

    “Pada 1 Januari 2018 kira-kira jam 2.00 petang, pasukan dari Ibu Pejabat JSJ yang diketuai oleh ASP Lim Jaw Shyong melakukan serbuan di kawasan terbuka di Hulu Suai, Niah, Miri.

    “Seramai 37 orang yang disyaki kaki penjudi telah ditahan kerana dipercayai terlibat aktiviti sabung ayam dalam sebuah pondok. Beberapa ayam hidup dan bangkai ayam mati beserta peralatan perjudian yang berkaitan sabung ayam telah dirampas, “ ujarnya

    Dev menambah, daripada 75 yang ditangkap, 68 adalah lelaki manakala selebihnya adalah perempuan. Mereka berusia antara 17 dan 62 tahun, sementara 8 orang daripada mereka yang ditangkap adalah warga asing.

    Semua yang ditahan sedang disiasat atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Pencegahan Kekejaman terhadap Ordinan Haiwan 1962. – Sarawakiana

  • No Comment to " Judi Awal Tahun, Polis Sarawak Tangkap 75 Individu Disyaki Terlibat Perjudian Haram "