• JPN Tumpas Sindiket Pemalsuan Dokumen Pengenalan Diri

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    SANDAKAN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri yang bergerak aktif di pantai timur Sabah dengan menyasarkan warga asing terutama Filipina, Indonesia dan Pakistan.

    Ia berikutan penahanan dua suspek utama dalam operasi sejak minggu lalu dengan suspek pertama iaitu wanita berumur 52 tahun ditahan di kediamannya di kawasan perindustrian Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Batu 2 1/2, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

    Seorang lagi iaitu lelaki berumur 52 tahun ditahan pada 26 Januari lalu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, semalam dan dihukum penjara 12 bulan atas kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

    Kedua-dua suspek menggunakan modus operandi memalsukan atau menjual dokumen pengenalan diri dengan harga antara RM3,000 hingga RM6,000 bagi dokumen palsu, manakala RM20,000 hingga RM60,000 bagi dokumen tulen.

    Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata sasaran kedua-dua suspek ialah menjual dokumen pengenalan diri kepada warga asing yang baru tiba di negeri ini bagi membolehkan mereka bekerja di Semenanjung.

    Katanya, turut dirampas ialah pelbagai dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan palsu serta empat buku akaun yang mengandungi beberapa transaksi berjumlah antara RM30,000 hingga RM60,000 dipercayai hasil penjualan dokumen pengenalan diri.

    "Kita sedang siasat jumlah dokumen yang sudah dikeluarkan dan keuntungan yang mereka perolehi, tapi ia memakan masa.

    "Kejayaan ini hasil risikan dan siasatan terperinci selama dua bulan dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan jaringan sindiket ini dapat dibendung," katanya dalam sidang media di Wisma Persekutuan, di sini, sebentar tadi.

    Yang turut hadir ialah Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim dan Pengarah JPN Sabah, Datuk Ismail Ahmad.

    Mohammad Razin berkata, pihaknya percaya kedua-dua ejen sudah lama melakukan kegiatan itu dan turut mengeluarkan pelbagai dokumen palsu lain termasuk sijil lahir, sijil kematian dan surat nikah.

    Beliau berkata, selain dua suspek utama, turut ditahan dalam operasi di sekitar Sandakan, Tawau, Kunak dan Lahad Datu sejak minggu lalu ialah 11 lagi suspek kerana menyalahgunakan dokumen pengenalan diri milik orang lain, memberi maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

    "JPN akan meneruskan pelbagai operasi dan inisiatif bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri terutama kad pengenalan dan secara tidak langsung menjaga kedaulatan serta keselamatan negara," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " JPN Tumpas Sindiket Pemalsuan Dokumen Pengenalan Diri "