• Jokowi Lancar Tren Khas Ke Lapangan Terbang Jakarta

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+


    JAKARTA – Ibu negara Indonesia mengikut jejak negara jirannya, Malaysia dan Thailand apabila berjaya hubung lapangan terbang utamanya dengan pusat bandar menerusi operasi tren khas.

    Ia dilancarkan oleh Presiden Joko Widodo yang menaiki tren di stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta jam 9 pagi Selasa menuju ke stesen Sudirman di BNI City sejauh 40 kilometer mengambil masa 55 minit.

    Beliau yang mesra disapa sebagai Jokowi berkata, kereta api berkenaan diharap dapat mengatasi masalah kesesakan trafik kerana 30 peratus daripada jutaan pelancong asing memasuki Indonesia menerusi lapangan terbang Jakarta.

    “Syukur kerana selepas tiga tahun dan berkat kerja keras untuk bina, akhirnya kita boleh melancarkan khidmat ini dan ia merupakan alternatif yang juga mampu mengurangkan isu kesesakan jalan raya di Jakarta,” kata beliau.

    Projek mega yang menelan kos sebanyak 3.6 trilion rupiah (RM803 juta) itu buat permulaan hanya menawarkan 42 perjalanan pada setiap hari menerusi tiga buah kereta api dengan bermula dari awal pagi hingga tengah malam.

    Sekitar 11,000 penumpang dijangka menggunakan khidmat ini dengan kekerapan 15 minit setiap hari dan apabila projek siap sepenuhnya tahun ini, ia bakal mampu mengangkut 35,000 penumpang sehari melalui 61 perjalanan.

    Tiket promosi kadar tetap berharga 70,000 rupiah (RM15) bagi dua bulan pertama perkhidmatan ini ditawarkan sebelum tarif dinaikkan kepada 100,000 rupiah (RM27) – iaitu separuh daripada tambang teksi biasa Jakarta.

    Sistem baharu itu ternyata menjimatkan masa dua kali lebih pantas berbanding perjalanan bagi mereka yang memandu kereta dan Jokowi berharap ramai pelancong beralih menaiki pengangkutan awam moden tersebut.

    Tren diurus PT Railink, usahasama PT Angkasa Pura II dan PT Kereta Api Indonesia. Jakarta ketika ini menyiapkan sistem rel bawah tanah dan transit aliran ringan yang beroperasi menjelang 2019. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Jokowi Lancar Tren Khas Ke Lapangan Terbang Jakarta "