• JKR Sasar Kerja Baik Pulih Sekolah Daif Bermula Februari

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+
    KUCHING, 5 Jan (Bernama) -- Fasa pertama projek untuk membaiki atau membina semula sekolah dalam keadaan daif di negeri ini dijangka bermula bulan depan.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata justeru itu pihaknya berharap segala proses berkaitan penilaian terakhir projek berkenaan dapat ditamatkan dalam bulan ini.

    Katanya ketika ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih melihat serta menyusun senarai keutamaan sekolah terlibat sebelum dimuktamadkan.

    "Projek untuk membaiki atau membina semula bakal dilaksanakan dua agensi berbeza iaitu KPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    "Untuk memantau dana serta projek yang dikendalikan JKR, sebuah pasukan petugas telah dibentuk, saya akan mengetuai pasukan petugas Sarawak manakala untuk Sabah akan diketuai oleh Timbalan Menteri Kerja Raya (Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata sebaik dimuktamadkan JKR akan mengadakan satu mesyuarat bagi mengemukakan kaedah terbaik untuk melaksanakan projek berkenaan.

    "Sarawak mempunyai kawasan yang luas malahan ada sekolah terpencil oleh itu mungkin tidak semua projek dapat dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

    Satu mesyuarat bersama kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak berkaitan akan diadakan untuk memastikan kaedah terbaik, berkesan supaya projek dapat dilaksanakan sebaik mungkin pada kadar ditetapkan mengikut bajet dan sasaran,\" katanya.

    Semasa membentang Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk Sarawak dan RM1 bilion lagi untuk Sabah bagi tujuan membaik pulih sekolah-sekolah daif -- BERNAMA
  • No Comment to " JKR Sasar Kerja Baik Pulih Sekolah Daif Bermula Februari "