• Jika Sistem IoT TKPM Rampangi Berjaya, Sensor Akan Digunakan Untuk Penternakan Lembu

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi merupakan projek perintis sistem Internet Untuk Segala-galanya (IoT) bagi sektor pertanian di Sarawak.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua unit sistem IoT dipasang di TKPM Rampangi dengan menjadikan TKPM tersebut sebagai model bagi pertanian pintar di Sarawak.

    "Menerusi sistem ini, petani dapat memantau dan mengawal aktiviti pertanian dari mana sahaja menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi yang dicipta khas," katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

    Beliau yang juga  Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, menerusi sistem IoT, produktiviti pertanian juga dapat dipertingkatkan seterusnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

    "Menerusi IoT dan pertanian pintar, kita mempelawa petani muda menceburi bidang pertanian kerana ia tidak lagi melibatkan penggunaan tulang empat kerat sepenuhnya tetapi dipacu oleh teknologi di hujung jari," ujarnya.

    Uggah turut menjelaskan sekiranya sistem IoT di TKPM Rampangi berjaya, beliau akan mengarahkan SALCRA melihat bagaimana sensor boleh digunakan untuk penternakan lembu di ladang milik SALCRA.

    "Namun sebelum itu, kita harus memastikan teknologi yang diguna pakai itu adalah asli, canggih dan benar-benar memberi manfaat kepada kita," jelasnya.

    Dengan keluasan 20 ekar, lapan ekar diperuntukkan bagi tanaman fertigasi di TKPM Rampangi yang mula beroperasi tahun ini.-Sarawakiana
  • No Comment to " Jika Sistem IoT TKPM Rampangi Berjaya, Sensor Akan Digunakan Untuk Penternakan Lembu "