• Jepun Sedia Tawaran Menarik Projek HSR

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Syarikat Jepun akan menawarkan penyertaan ekuiti besar kepada rakan kongsi tempatan, selain mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang, sekiranya berjaya mendapatkan tender projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

    Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa, berkata projek itu akan mencetuskan ledakan besar bagi syarikat Malaysia dan Singapura, termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    "Pelaksanaan projek rel kereta api seperti HSR akan membuka ruang penyertaan besar-besaran di peringkat tempatan, terutama dalam pembinaan bangunan infrastruktur berskala besar.

    "Untuk projek ini, kami mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama syarikat tempatan di Malaysia dan Singapura. Jajaran kereta api memerlukan pengetahuan teknologi yang sudah dimiliki secara menyeluruh oleh syarikat infrastruktur Jepun.

    "Kerjasama antara industri tempatan dan rakan Jepun masing-masing akan menjadi sebahagian daripada dasar kami, selain menjadi komponen penting dalam pembentukan infrastruktur kukuh bagi projek berteknologi tinggi seperti itu," kata Miyagawa kepada BERNAMA.

    Beliau turut mengulangi pendekatan dan komitmen asas Jepun untuk memaksimumkan penyertaan tempatan dalam pembinaan projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara itu.

    "Syarikat yang akan ditubuhkan di Malaysia dan Singapura akan mempunyai penyertaan bersama industri Jepun dan tempatan. Kami sangat gembira mendapatkan penyertaan dan perkongsian kukuh dalam operasi dan pengurusan pada masa akan datang," kata Miyagawa.

    Duta Besar itu juga memberi gambaran lebih besar mengenai pelaburan di Malaysia yang sudah melebihi setengah abad.

    Miyagawa berkata: "Pengumpulan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia terus menjadi yang terbesar. Industri terus melabur di Asia Tenggara walaupun ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan bekerjasama dengan industri tempatan untuk mencari jalan keluar.

    "Industri kami akan meneruskan kehadiran mereka di pasaran Malaysia dan meneruskan kerjasama dengan industri Malaysia."

    Beliau berkata, syarikat Jepun sudah mula membayangkan beberapa entiti Malaysia bagi kemungkinan usaha sama, dan mendapat maklum balas sangat positif daripada rakan kongsi berpotensi.

    "Pintu masih terbuka luas kepada syarikat tempatan lain, termasuk PKS. Saya yakin terhadap kemungkinan mewujudkan perkongsian padu dan baik antara industri Jepun dan rakan Malaysia dan Singapura," katanya.

    Menurut Miyagawa, bidaan HSR Jepun didatangkan dengan teknologi terbaik, kos yang menguntungkan, selain pakej kewangan.

    Jepun mencipta sistem HSR pertama di dunia lebih 50 tahun lalu dan tanpa mengorbankan nyawa sejak itu.

    Untuk HSR, Jepun mengetengahkan sistem Shinkansen yang terkenal di dunia dan membabitkan pembangunan perbandaran baharu di sepanjang landasan HSR seperti di negara itu.

    Ini bukan saja akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk penduduk tempatan, malah menjadi dorongan untuk pertumbuhan di Malaysia dan Singapura.

    Di Jepun, stesen Shinkansen adalah pusat pertumbuhan kedai runcit, kediaman dan perkilangan di sekelilingnya.

    "Kami mahu melihat kejayaan yang sama di Malaysia dan Singapura seperti yang kami laksanakan di Malaysia sejak 60 tahun lalu menerusi hubungan dua hala, semua perkembangan ini boleh dijangkakan sekiranya Shinkansen dipilih," kata Miyagawa.

    Tawaran untuk projek HSR KL-Singapura akan dikemukakan pertengahan tahun ini dan pembida yang berjaya dijangka diketahui menjelang akhir tahun.

    China, Korea Selatan dan Perancis dijangka mengemukakan bidaan masing-masing bagi projek bernilai antara RM50 bilion dan RM60 bilion itu.

    Projek usaha sama antara Malaysia dan Singapura itu dijangkakan beroperasi pada 2026. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jepun Sedia Tawaran Menarik Projek HSR "