• Jenayah Seksual Di Pusat Karaoke

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    AYER KEROH: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah seksual fizikal terhadap pelajar perempuan Tingkatan Tiga, Disember tahun lalu.

    Muhammad Khairul Nizam Shah Johari, 20, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu di pusat karaoke, pusat beli-belah, Jalan Merdeka, jam 12 tengah hari, pada 16 Disember 2017.

    Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak membenarkan jaminan, manakala tertuduh diwakili peguam M Pusppa dan Azhar Ghazali merayu diberi jaminan atas alasan anak guam mereka menanggung keluarga.

    Meor Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Beliau turut menetapkan 12 Februari ini untuk sebutan semula kes.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jenayah Seksual Di Pusat Karaoke "