• Jemaah Malaysia Diseru Jangan Amalkan Minum Air Kencing Unta

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Tiada bukti mengatakan kencing unta boleh merawat sebarang kesakitan, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) merujuk amalan sesetengah jemaah umrah yang menganggap ia satu bentuk minuman khasiat.

    Ketua Jawatankuasa Fiqh Perubatan Imam, Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini berkata jika sesuatu kaedah rawatan membawa lebih banyak buruk daripada baik, ia dikira sebagai “haram” menurut perspektif Islam.

    Beliau mengulas artikel dalam portal PAS, Harakah Daily yang memetik pengamal perubatan Dr Suhazeli Abdullah, menasihati orang ramai untuk tidak meminum atau mengambil kencing, susu atau sebarang produk daripada unta.

    Langkah ini untuk mencegah jemaah yang melawat Arab Saudi daripada menghidap Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV)

    Kementerian Kesihatan, dalam risalahnya yang menjelaskan tentang penyakit berjangkit itu, juga menasihati jemaah agar tidak bersentuhan dengan unta, meminum susu atau kencing unta dan memakan daging unta yang kurang masak.

    Sesetengah jemaah dipercayai melakukan sedemikian atas faedah kesihatannya.

    Seorang lelaki warga Malaysia disahkan positif MERS-CoV selepas pulang dari umrah pada 23 Disember lepas.

    Lelaki dari Selangor itu menunjukkan simptom seperti demam, batuk, kelesuan, dan sakit-sakit kaki sejurus tiba di tanah air.

    Menurut Dr Faidhi, dahulu virus itu tidak wujud, menjadikan amalan meminum kencing unta tidak berbahaya.

    “Kini, kita sedia maklum ada kemungkinan untuk menghidap MERS-CoV daripada unta, sebarang sentuhan patut dielakkan,” katanya.

    Katanya, umat Islam harus mematuhi penemuan dan bukti baharu dan mendapatkan rawatan kesihatan jika sakit.

    Situasi itu sama dengan penyakit lembu gila di mana semua daging lembu di United Kingdom tidak dibenarkan untuk dimakan buat sementara waktu pada 1980-an tetapi kini situasi sudah pulih, katanya lagi.

    Meminum kencing unta adalah amalan perubatan tradisional masyarakat Arab yang tidak dianggap dalam kategori as-Sunnah Tasri’yyah, tetapi hanyalah amalan yang dilakukan oleh masyarakat Arab, tambahnya lagi. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Jemaah Malaysia Diseru Jangan Amalkan Minum Air Kencing Unta "