• Janna Nick Hadiah Kereta Mewah Untuk Ibu

    Published: Tuesday, 16 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Janna Nick, membuat kejutan dengan menghadiahkan ibunya sebuah kereta mewah sempena ulang tahun kelahiran ke-44 wanita itu, malam tadi.

    Katanya, rezeki tidak putus yang diterima sepanjang tahun lalu adalah berkat doa keluarga dan peminat, sekali gus ingin berkongsi nikmat terbabit bersama insan paling istimewa dalam hidupnya.

    "Hadiah ini tidak seberapa jika dibandingkan jasa dan pengorbanan mak menjaga kami adik-beradik tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ia tanda terima kasih saya kepadanya.

    "Tanpa restu dan sokongan mak yang sentiasa berada di belakang saya walau pada waktu sukar mahu pun senang, membolehkan saya terus melangkah jitu di arena seni ini," katanya kepada BH.

    Menerusi perkongsian video berdurasi 59 saat itu, Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Muner, 23, dalam nada sebak meluahkan penghargaan serta ucapan khas buat wanita istimewa dalam hidupnya, yang dikenali sebagai Shasha atau Mama Scha.

    "Tiada perkara lain yang mampu membuatkan saya gembira selain melihat kebahagiaan dan kegembiraan insan yang paling saya sayang.

    "Apa saja yang Angah buat dalam dunia ini semuanya adalah untuk mak, bukan untuk orang lain atau sesiapa pun sebab Angah sayangkan mak.

    "Angah tak tahu apa yang Angah nak buat dalam dunia ini kalau mak tiada. Semoga mak gembira selalu, panjang umur dan sihat sentiasa," katanya menerusi video di Instagram.

    Perkongsiannya itu mengundang maklum balas lebih 1,100 komen dan video terbabit juga ditonton lebih 566,000 kali.

    Terdahulu, adik Janna, Nurul Balqis, 15, dilihat menyerahkan kunci kereta kepada ibu mereka yang tampak terkejut dan menitiskan air mata saat menerima hadiah berkenaan.

    Daripada video terbabit, jelas kelihatan kereta mewah rona hitam itu dihiasi riben kuning gergasi pada pemegang pintu bahagian penumpang di sebelah pemandu.

    Rata-rata peminat turut mengucapkan selamat hari jadi kepada wanita berkenaan, selain memuji kejelitaannya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Janna Nick Hadiah Kereta Mewah Untuk Ibu "