• Jangan Biarkan Bahasa Sukuan Di Sarawak Pupus 'Ditelan' Zaman

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Masyarakat Sarawak yang terdiri daripada 27 etnik sudah pasti mempunyai pelbagai bahasa sukuan yang digunakan dalam dialek harian.

    Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Annuar Rapaee berkata, terdapat perkataan yang semakin pupus disebabkan pencampuran bahasa dalam percakapan harian.

    "Sebagai contoh, Bahasa Melayu Sarawak mempunyai begitu banyak sebutan perkataan yang tidak digunakan lagi oleh generasi hari ini.

    "Perkara tersebut begitu membimbangkan dan jika tiada tindakan maka akan hilanglah keaslian bahasa tersebut," katanya.

    Katanya, di sinilah peranan penulis dari berbagai etnik memperkasakan bahasa sukuan dalam bentuk penulisan.

    "Penulis etnik ini harus tampil dengan menghasilkan lebih banyak penulisan dalam bahasa sukuan masing-masing.

    "Tujuannya adalah untuk mengekalkan keaslian bahasa sukuan supaya tidak hilang pada masa akan datang," ujarnya.

    Tambahnya, penulis harus senantiasa berhubung dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk tindakan selanjutnya.

    "Sedih kiranya jika bahasa tidak dimartabatkan dan penulis etnik tidak harus memandang isu ini sebagai remeh," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Jangan Biarkan Bahasa Sukuan Di Sarawak Pupus 'Ditelan' Zaman "