• Jambatan Labuan - Menumbok Pemangkin Perubahan

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    LABUAN: Kajian yang akan dilaksanakan berhubung pembinaan jambatan Labuan - Menumbok di tanah besar Sabah bukan untuk menilai kesesuaiannya, sebaliknya bagi mencari kaedah terbaik demi merealisasikan projek itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, pembinaan jambatan Labuan - Menumbok bakal menjadi pemangkin kepada perubahan menyeluruh pulau bebas cukai ini, khususnya meningkatkan kemasukan pelabur dan memudahkan pergerakan penduduk kedua-dua wilayah.

    Katanya, kerajaan tidak melihat aspek keuntungan dalam melaksanakan pembinaan jambatan berkenaan semata-mata, sebaliknya mengambil kira keperluan pembangunan pulau itu secara menyeluruh.

    "Walaupun ada orang kata kos pembinaan jambatan Labuan-Sabah mungkin tidak begitu menguntungkan, kerajaan tidak melihat kepada pulangan saja, sebaliknya kita mahu melihat pembangunan secara keseluruhan.

    "Jika pembinaan jambatan ini menjadi pemangkin perubahan Labuan, jika disebabkan jambatan ini ekonomi Labuan lebih rancak dan penduduk boleh bergerak dengan mudah dan jika ia meyakinkan pelabur, maka berbaloi untuk kita bina jambatan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kerangka Pembangunan Labuan 2030 (LDB2030), di sini, hari ini.

    Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

    Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

    Ketika pembentangan Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu, Najib mengumumkan kerajaan meluluskan kajian kebolehlaksanaan untuk pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah bagi merancakkan ekonomi pulau itu.

    Sementara itu, Najib pada majlis sama turut menyerahkan surat pelantikan syarikat juru perunding yang akan melaksanakan kajian pembinaan jambatan berkenaan.

    "Saya harap kajian kaedah pelaksanaan itu dapat disiapkan tidak lama lagi dan insya-Allah mudah-mudahan apabila sudah selesai kita akan kembali ke sini untuk melancarkan pelaksanaan pembinaan jambatan itu," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Jambatan Labuan - Menumbok Pemangkin Perubahan "