• Jalan Sering Ditenggelami Air Wajar Dinaiktaraf - Rundi

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+

    MIRI: Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berharap cadangan untuk menaikkan paras ketinggian jalan yang sering ditenggelami air terutamanya di kawasan Ulu Niah telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, ia adalah bagi memastikan penduduk kampung dapat menggunakan jalan tersebut sepanjang masa.

    Menurutnya, dua kawasan utama yang dikenalpasti sebagai kawasan rendah dan sering ditenggelami air setiap kali pada musim hujan adalah jalan raya di sekitar Sungai Keburak dan Sungai Lemaus masing-masing sepanjang 150 meter dan 300 meter.

    “Oleh yang demikian langkah untuk menaikkan paras ketinggian jalan tersebut dengan paras ketinggian dua meter adalah wajar dipertimbangkan bagi mengatasi masalah tersebut.” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan banjir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri kepada lima tuai rumah panjang mewakili 767 penduduk dari Hulu Niah semalam.-Sarawakiana
  • No Comment to " Jalan Sering Ditenggelami Air Wajar Dinaiktaraf - Rundi "