• Jakim Mahu Lebih Mengenali Nur Sajat

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik, Nur Sajat.

    Hajat itu disuarakan menerusi ‘mesej terbuka’ oleh Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof khusus buat Sajat.

    Menurut Izwan yang merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim, beliau berhajat untuk berjumpa Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan masyarakat.

    “Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat.

    “Atau kami sedia berjumpa dengan Sajat di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7,” katanya menerusi satu ‘posting’ di laman sosial Facebook pada petang Isnin.

    Pada masa sama, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi Twitternya turut menyatakan persetujuan berhubung hasrat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan bersama Sajat.

    “Assalamualaikum, Dr Izwan Yusof, setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum,” kata Othman.


    Kenyataan Ketua Pengarah Jakim di Twitter mengenai pertemuan dengan Nur Sajat.
    Dalam pada itu, berkenaan hal-hal membabitkan Sajat di media sosial, kata Izwan, Jakim mengambil sikap berkecuali kerana mereka perlu mengetahui masalah sebenar yang dihadapi.

    “Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Sajat.

    “Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam,” katanya.

    Menerusi pertemuan itu nanti, Izwan berkata, beliau yakin akan merungkaikan persoalan yang terus berlegar di kalangan ummah.

    “Kami juga ingin nasihatkan Sajat supaya mendekati al-Qur’an dan banyakkan zikrullah. Ini kerana ia akan membantu jiwa kita menjadi tenang,” kata Izwan.

    Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti usahawan kosmetik berkenaan.-Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Jakim Mahu Lebih Mengenali Nur Sajat "