• Jabatan Imigresen Tumpaskan Sindiket 'Abang Bangla'

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+
    Foto BH


    PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan warga Bangladesh didalangi seorang lelaki dikenali 'Abang Bangla' dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Seksyen 28, Shah Alam, Selangor awal pagi tadi.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata menerusi serbuan kira-kira jam 2 pagi itu pihaknya menahan 50 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun selain merampas wang tunai berjumlah RM13,400 dan 48 pasport Bangladesh.

    Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh dikenali 'Abang Bangla' atau nama sebenarnya Abdul Rauf, 43, di Alam Megah, di Shah Alam dipercayai menjadi dalang sindiket menguruskan kemasukan warga senegaranya itu.

    Katanya, turut ditahan dalam operasi itu seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang disyaki bersubahat sebagai pembantu kepada 'Abang Bangla'.

    "Siasatan awal mendapati 'Abang Bangla' ini menguruskan kemasukan warga Bangladesh berkenaan yang mana ada antara mereka pernah melakukan kesalahan dan dijatuhkan hukuman kerana memasuki negara ini secara tidak sah.

    "Sebahagian daripada mereka juga sudah disenarai hitam Jabatan Imigresen, sekali gus menggunakan khidmat 'Abang Bangla' ini untuk membawa mereka masuk semula ke Malaysia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Mustafar berkata, modus operandi sindiket itu yang sudah beroperasi lebih lapan bulan ialah menguruskan tiket penerbangan warga Bangladesh terbabit dengan menaiki penerbangan dari Dhaka ke Jakarta, Indonesia.

    "Dari Indonesia, mereka dibawa menggunakan jalan laut ke Malaysia dan kita mengenalpasti pesisir pantai Sekinchan, Selangor menjadi lokasi pendaratan sebelum mereka di bawa sindiket ke rumah penginapan berkenaan.

    "Warga Bangladesh ini juga terpaksa membayar antara RM15,000 hingga RM20,000 kepada sindiket berkenan.

    "Mereka akan disimpan terlebih dahulu di kediaman berkenaan atau dipanggil rumah penampungan sehingga bayaran diselesaikan dan selepas itu barulah diserahkan kepada ejen atau majikan yang memerlukan pekerja asing," katanya.

    Tambah beliau, dalang berkenaan yang memasuki Malaysia pada Jun 2013 dan bekerja di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur, dan pembantunya itu kini ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala 50 warga Bangladesh berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam pada itu Mustafar berkata, pihaknya juga turut membuat satu lagi serbuan di sebuah gudang di Subang Jaya, tengah hari semalam, sebelum menahan 121 warga Bangladesh, 60 India dan dua Pakistan.

    "Mereka melakukan beberapa kesalahan, termasuk pasport tamat tempoh dan ada yang melakukan kesalahan kerana pertukaran sektor.

    "Mereka tidak sepatutnya bekerja di gudang berkenaan. Ada beberapa syarikat penyumberan luar yang uruskan mereka ke tempat itu. Kita sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik gudang dan ejen syarikat penyumberan luar ini," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jabatan Imigresen Tumpaskan Sindiket 'Abang Bangla' "