• Istana Negara Menerima Sijil Perakuan Bomba

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia hari ini menyampaikan Sijil Perakuan Bomba kepada Istana Negara setelah melalui pemeriksaan keselamatan yang rapi dan teliti.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata sijil itu adalah pengiktirafan kepada Istana Negara yang mempunyai fasiliti keselamatan yang diselenggara dengan baik mengikut standard yang ditetapkan.

    “Pemberian sijil tersebut membuktikan sistem kebombaan dan fasiliti Istana Negara berada dalam keadaan baik dan boleh berfungsi pada bila-bila masa.

    “Ia (sijil) perlu diperbaharui setiap tahun dan dalam aspek ini, pihak pengurusan Istana Negara perlu sentiasa memastikan sistem dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil yang diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan Istana Negara, di sini.

    Turut hadir pada perhimpunan yang disertai 400 kakitangan dan pegawai-pegawai Istana Negara adalah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz.

    Menurut Khirudin, penilaian diberikan berdasarkan pelbagai aspek keselamatan termasuk sistem pengesan asap yang aktif, sprinkler dan salur pancur basah yang terdapat di kompleks Istana Negara.

    Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata sijil tersebut adalah pengiktirafan kepada Istana Negara memandangkan Istana Negara banyak menganjurkan acara melibatkan Yang di-Pertuan Agong, pemimpin serta pembesar luar negara. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Istana Negara Menerima Sijil Perakuan Bomba "