• Israel Penjarakan 95,000 Remaja, Kanak-Kanak Palestin

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selama ini kita hanya mendengar mengenai penahanan orang Palestin dewasa tetapi sebenarnya ramai kanak-kanak dan remaja Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Israel kerana kesalahan yang amat kecil.

    Pendedahan itu dibuat oleh Bendahari Viva Palestinia Malaysia, Puan Seri Norma Hashim, dalam pertemuan dengan Utusan Online baru-baru ini.

    "Sejak tahun 1987, rejim Zionis Israel telah menahan seramai 800,000 orang rakyat Palestin di penjara-penjara mereka dengan 95,000 daripadanya adalah kanak-kanak," katanya.

    Luahan hati tahanan kanak-kanak ini boleh dibaca dalam buku berjudul, Dreaming of Freedom, yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Norma.

    Disember lalu, seorang remaja perempuan Palestin Ahed Tamimi, 16, telah ditahan oleh askar Israel kerana kesalahan yang sangat kecil.

    Pada suatu hari, dia dilihat sedang berjalan ke arah dua orang askar Israel yang berdiri di pintu masuk rumahnya. Suaranya kuat kedengaran meminta mereka beredar daripada rumahnya. 

    Dia kemudian menolak dan menendang kedua-dua askar tersebut yang nampak sangat marah. Kemudian remaja tersebut menampar muka salah seorang daripada askar tersebut dengan kuat.

    Tiga hari selepas itu, dia ditahan oleh askar Israel di rumahnya atas tuduhan menentang askar Israel. Ahed Tamimi telah dibicarakan di mahkamah militari di Ofer dan dipenjarakan.

    Ahed adalah salah seorang daripada seramai 1,500 orang kanak-kanak Palestin yang dipenjarakan di Penjara Wanita Hasharon, Israel. Keberanian Ahed telah mendapat perhatian dunia yang mula membuka mata atas kekejaman Israel termasuk terhadap kanak-kanak.

    Ahed mendapat perhatian dunia kerana personalitinya yang berbeza daripada remaja Palestin lain. Berambut panjang perang dan kerinting dan bermata biru, masyarakat di Barat mudah menerimanya seperti bangsa mereka sendiri dan bersimpati dengannya.

    Sejak kecil, kanak-kanak Palestin telah diajar untuk menentang penjajahan, berani mencabar askar Israel dan tidak takut dipukul atau ditangkap.- UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Israel Penjarakan 95,000 Remaja, Kanak-Kanak Palestin "