• Israel Kembalikan Bekalan Elektrik Gaza

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+


    BAITULMAQDIS: Israel akan mengembalikan bekalan elektrik penuh ke Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas hari ini, susulan permohonan daripada Palestin yang memaklumkan mereka akan menyambung bayaran.

    Presiden Palestin yang disokong Barat, Mahmoud Abbas menarik balik jaminan untuk membayar elektrik Israel pada April tahun lalu, mengakibatkan dua juta penduduk Gaza hanya mempunyai bekalan elektrik tiga ke empat jam sehari, selepas separuh bekalan dipotong.

    Tindakan Abbas menjejaskan sekolah, kilang, hospital dan isi rumah dan ia bertujuan mendesak Hamas melepaskan cengkaman ke atas wilayah itu, selepas sedekad pergerakan Islam terbabit merampasnya daripada angkatan setia kepada presiden.

    Kenyataan ringkas Menteri Tenaga Israel, Yuval Steinitz semalam berkata, beliau sudah mengarahkan pencawang yang mampu menghantar sehingga 120 megawatt bekalan tenaga disiapkan untuk operasi penuh sehingga hari ini.

    Inisiatif itu akan mengembalikan tambahan 50 megawatt tenaga elektrik ke Gaza.

    Pakar ekonomi Gaza berkata, pengembalian tenaga dari Israel yang menjadi pembekal utama elektrik wilayah itu akan meningkatkan penghantaran tenaga elektrik sehingga enam jam.

    Difahamkan, stesen janakuasa tunggal Gaza hanya menjana sejumlah kecil tenaga elektrik.

    Disebabkan sekatan Abbas dengan kebimbangan pengasingan kewangan dan politik, Hamas menandatangani perjanjian perhubungan semula Mesir dengan kerajaan Fatah pada Oktober lalu dan bersetuju menyerahkan kawalan pentadbiran Semenanjung Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

    Bagaimanapun, kedua-dua kumpulan gagal memuktamadkan perincian perjanjian itu yang sepatutnya selesai pada 1 Disember lalu. Keputusan Pihak Berkuasa Palestin kembali membayar elektrik mungkin membantu melicinkan usaha menyelesaikan perjanjian itu. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Israel Kembalikan Bekalan Elektrik Gaza "