• IPD Kuching Rekod Rampasan Dadah Sebanyak RM7.15juta Tahun Lalu

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    KUCHING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai dadah bernilai RM7.15 juta di sekitar bandar raya ini sepanjang tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejayaan itu merupakan hasil keras anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam usaha membanteras akitiviti pengedaran dadah.

    Menurutnya, rampasan dadah jenis syabu merekodkan jumlah terbesar dengan nilai rampasan sebanyak RM6.45 juta, diikuti pil ekstasi (RM325,715), erimin 5 (RM99,580), pil nospan (RM63,790) dan ganja (RM28,056).

    "Jumlah serbuan yang dilakukan pula ialah sebanyak 1,163 dengan tangkapan seramai 1,358 individu atas pelbagai kesalahan narkotik dalam tempoh sama tahun lalu.

    "Kejayaan dan jumlah rampasan tersebut adalah disebabkan dua faktor utama iaitu peningkatan risikan dan penumpuan pasukan dalam membanteras gejala dadah," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah di Padang Kawad IPD Kuching, di sini hari ini.

    Sementara itu, Abang Ahmad memberitahu, kadar indeks jenayah di sekitar bandar raya ini telah mencatat penurunan sebanyak 3.48 peratus sepanjang tahun lalu berbanding tempoh sama pada 2016. - K! ONLINE
  • No Comment to " IPD Kuching Rekod Rampasan Dadah Sebanyak RM7.15juta Tahun Lalu "