• Inflasi Teras Malaysia Diunjur 2.7% Pada 2018: RHB

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Inflasi teras Malaysia diunjur menyederhana kepada 2.7 peratus pada 2018, berbanding 3.8 peratus yang dijangkakan pada 2017, kata RHB Research Institute dalam satu kenyataan hari ini.

    Firma penyeldikan itu turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan bertindak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini.

    "Kami menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus tahun ini selepas mengekalkannya pada 3.00 peratus tahun lalu. Ini memandangkan inflasi berkurangan dan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh.

    "Langkah itu diambil ketika bank-bank pusat utama lebih cenderung untuk memperketatkan lagi dasar monetari masing-masing susulan pertumbuhan kukuh di ekonomi lebih maju," katanya.

    Ia turut menjangkakan pertumbuhan tahunan wang secara meluas akan meningkat kepada 5.0 peratus pada 2018 daripada +4.8 peratus yang dijangkakan pada 2017, sejajar perkembangan ekonomi.

    Sementara itu, RHB berkata pertumbuhan pinjaman pula diunjur mencatat paras lebih stabil pada 6.0 peratus untuk 2018 daripada +5.0 peratus yang dijangkakan pada 2017, berikutan peningkatan aktiviti ekonomi.

    Bagaimanapun, perkembangan itu akan dikekang sebahagiannya oleh pinjaman isi rumah yang lebih perlahan akibat kelemahan pasaran hartanah.

    "Walaupun pertumbuhan aliran wang yang stabil, kami tidak menjangkakan ini memberi kesan tekanan permintaan ketara terhadap harga," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Inflasi Teras Malaysia Diunjur 2.7% Pada 2018: RHB "