• India Benar 100% FDI Dalam Runcit Jenama Tunggal

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    NEW DELHI – Kerajaan India akan membenarkan 100 peratus pelaburan langsung asing (FDI) dalam runcit jenama tunggal ketika ia cuba meningkatkan aliran masuk dana dari luar negara.

    Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Narendra Modi telah memberi kelulusan kepada beberapa perubahan dalam dasar FDI, kata kerajaan dalam satu kenyataan hari ini.

    Peraturan baru itu akan membenarkan 100 peratus FDI di bawah laluan automatik untuk perdagangan runcit jenama tunggal (SBRT).

    Di bawah dasar sedia ada, 49 peratus FDI dibenarkan dalam runcit jenama tunggal di bawah laluan automatik dan selebihnya melalui kelulusan kerajaan.

    “Kini ia memutuskan untuk membenarkan 100 peratus FDI di bawah laluan automatik untuk SBRT,” kata kenyataan kerajaan tersebut.

    India berharap dasar yang dilonggarkan itu akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan membawa FDI yang lebih besar, yang berjumlah AS$ 60 bilion (AS$1=RM4.012) antara April 2016 dan Mac 2017.

    Kerajaan juga mengumumkan bahawa ia akan membenarkan syarikat penerbangan asing memiliki 49 peratus kepentingan dalam Air India, yang kini ditawarkan untuk penswastaan.

    Dasar FDI sebelum ini membbenarkan syarikat penerbangan asing memiliki 49 peratus ekuiti dalam syarikat penerbangan India di bawah laluan kelulusan kerajaan, tetapi syarikat penerbangan negara itu tidak terbuka kepada pemilikan asing.

    Kenyataan kerajaan berkata ” ia kini telah memutuskan untuk menghapuskan sekatan ini” dan membolehkan syarikat penerbangan asing melabur hingga 49 peratus di bawah laluan kelulusan dalam Air India.

    Menurut media tempatan, India mungkin menarik minat pembeli berpotensi terhadap Air India yang mengalami kerugian itu selepas pembentangan bajet pada 1 Februari depan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " India Benar 100% FDI Dalam Runcit Jenama Tunggal "