• Indeks Jenayah Sibu Turun 5.74 Peratus

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    SIBU: Bahagian Sibu mencatatkan mencapai penurunan indeks jenayah sebanyak 5.74 peratus, iaitu 756 kes direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan jenayah harta benda dan jenayah kekerasan.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit, berkata pencapaian itu disumbangkan usaha berterusan pegawai dan anggotanya, termasuk kerjasama diberikan penduduk setempat dalam memerangi jenayah.

    "Bagi menangani isu penjenayah tegar, 23 individu ditahan, seterusnya dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), manakala 1,021 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, masing-masing membabitkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

    "Ini sebahagian daripada komitmen berterusan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa di bahagian ini, seiring dengan kedudukannya sebagai pusat pertumbuhan ekonomi terpenting di wilayah tengah Sarawak," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perpisahan Ketua Polis Daerah Sibu di Padang Kawad IPD Sibu, di sini hari ini.

    Zailanni berpindah tugas ke Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri, berkuat kuasa 10 Januari ini, manakala jawatan lamanya disandang oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit.

    Beliau ketika mengulas lanjut, berkata sepanjang tahun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sibu berjaya menyelesaikan 12 kes penipuan membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM18,800.

    "Suspek memperdayakan mangsa agar menyerahkan wang bagi mendapatkan pekerjaan yang tidak wujud.

    "Selain suspek berjaya ditangkap bertempat di Ayer Keroh, Melaka pada 8 November lalu sebelum didakwa di Mahkamah Sibu pada 16 November.

    "Suspek mengaku bersalah dan dihukum penjara tiga tahun bersama satu sebatan, sekali gus membantu kita menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes penipuan," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Indeks Jenayah Sibu Turun 5.74 Peratus "