• Imigresen: Itu bukan surat pekeliling halang anak tanpa warganegara bersekolah

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali hari ini menjelaskan surat Jabatan Imigresen (JIM) kepada Kementerian Pendidikan (KPM) adalah berhubung keperluan pasport dan dokumen perjalanan bagi kanak-kanak warga asing untuk berada di Malaysia.

    Beliau berkata, surat penjelasan bertarikh 28 Disember itu bertujuan menjawab persoalan yang dikemukakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, bukannya surat pekeliling.

    “Surat bertarikh 28 Disember ini bukan surat pekeliling, tetapi ia adalah surat balasan kepada KPM berhubung pertanyaannya sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

    Baru-baru ini, portal berita melaporkan beberapa kanak-kanak tanpa warganegara di Pulau Pinang dilarang memasuki persekolahan berikutan “surat pekeliling” yang dikeluarkan JIM.

    Mustafar berkata, pada 28 November lepas, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM menghantar surat untuk mendapatkan penjelasan sama ada kanak-kanak yang dilahirkan di dalam dan luar negara memerlukan pasport atau dokumen perjalanan sah untuk belajar di sekolah di bawah KPM.

    Pada 28 Disember lepas, katanya, JIM membalas surat tersebut dengan memberi penjelasan kanak-kanak asing yang lahir di dalam atau di luar Malaysia memerlukan pasport sah mengikut negara masing-masing bagi membolehkan satu pas dikeluarkan untuk tinggal di Malaysia.

    Dalam surat itu, katanya, JIM juga menjelaskan hanya kanak-kanak bertaraf warganegara Malaysia tidak memerlukan pasport untuk berada di Malaysia.

    Mustafar berkata, surat tersebut juga memaklumkan kanak-kanak berstatus bukan warganegara, tetapi memohon taraf warganegara tetap memerlukan pasport mengikut negara masing-masing sehinggalah mendapat taraf warganegara Malaysia.

    Beliau turut menjelaskan kemasukan kanak-kanak warga asing di sekolah bantuan kerajaan terletak di bawah bidang kuasa KPM, bukannya JIM. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Imigresen: Itu bukan surat pekeliling halang anak tanpa warganegara bersekolah "