• Identiti Doktor Dari NZ, Tulis Surat Kritik Pakaian Seksi Pramugari Malaysia Diragui

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    Misteri identiti seorang doktor warga New Zealand yang menulis sepucuk surat meluahkan rasa kurang senang terhadap pakaian seragam pramugari sebuah syarikat penerbangan Malaysia menjadi tanda tanya ramai, sama ada wanita itu sebenarnya ‘wujud’ atau hanyalah rekaan semata-mata.

    Dr. June Robertson dari Wellington, yang mendakwa sering berkunjung ke Malaysia dua kali setahun atas urusan kerja sejak lebih sedekad lalu mengirimkan surat tersebut kepada Senator Datuk Hanafi Mamat sebagai respon kepada cadangan Ahli Dewan Undangan Negara itu yang menggesa semua pramugari penerbangan negara memakai pakaian patuh syariah.

    Memetik Utusan Online, Hanafi berkata Robertson menulis surat tersebut selepas membaca laporan berita di New Zealand mengenai ketidaksetujuan beliau terhadap pakaian pramugari yang terlalu seksi.

    “Dalam surat itu Robertson menyatakan beliau datang ke Malaysia dua kali setahun sejak 10 tahun lalu kerana sukakan negara ini.

    “Beliau merasa terlalu 'jijik' apabila melihat pramugari penerbangan yang dinaikinya memakai skirt yang terlalu pendek dan pengalamannya berhadapan dengan pramugari daripada syarikat penerbangan tersebut,” katanya seperti dilapor akhbar itu pada 14 Januari lalu.

    Isi kandungan lain yang ditulis dalam surat tersebut, yang mana turut menarik perhatian beberapa portal antarabangsa seperti news.com.au dan New Zealand Herald, Robertson menambah: “Saya telah menjelajah ke serata dunia, menggunakan perkhidmatan pelbagai syarikat penerbangan, tapi saya tidak pernah nampak mana-mana kru syarikat penerbangan memakai skirt sesingkat itu.”

    Beliau kemudian menjelaskan secara lebih lanjut pengalamannya berdepan dengan insiden yang disifatkan sebagai sangat teruk.

    “Salah seorang pramugari penerbangan berkenaan menunduk untuk mengambil sesuatu di pasaraya di Klia2 dan saya boleh nampak seluar dalamnya, sangat teruk!

    “Ketika dalam penerbangan dari Auckland ke KL pada Oktober 2017, wanita yang melayan kami di kelas bisnes premium memakai skirt dengan bahagian atasnya (baju) terbuka dan menampakkan bahagian payudaranya. Saya melarangnya dan menyuruh dia menutup dengan jaket memandangkan dia sedang menunduk ke arah kami,” tulis Robertson.

    Bagaimanapun, timbul keraguan dalam kalangan segelitir netizen mengenai identiti doktor itu – sama ada beliau sebenarnya wujud atau hanya rekaan untuk tujuan tertentu.

    Malah, misteri mengenai siapa sebenarnya wanita itu semakin kuat apabila portal New Zealand Herald semalam melaporkan pihaknya cuba untuk mengunjungi rumah doktor itu di alamat yang tertera pada surat yang ditulisnya, namun tidak menemui sesiapa di rumah tersebut.

    Tambah agensi berita itu lagi, tiada individu yang bernama June Robertson berdaftar dengan Majlis Perubatan di kawasan Wellington.

    Bagi merungkai identiti doktor itu, Herald mendakwa pihaknya juga meminta respon daripada Capital and Coast DHB, bagi mendapatkan kepastian sama ada Robertson bekerja dengan mereka. Namun, tiada jawapan diberikan setakat ini kerana sambutan Hari Ulang Tahun Wellington.

    Maklumat di LinkedIn Dr June Robertson juga tidak jelas, dan tiada mana-mana individu yang ‘connect’ dengan profil doktor itu.

    Tinjauan Malaysian Digest di laman Twitter pula mendapati pengguna Twitter Malaysia Fever mendakwa surat tersebut adalah “satu penipuan”.

    “Tiada ‘Dr June Robertson’ didaftarkan di New Zealand, tiada pengamal perbuatan atau nombor telefon yang menyenaraikan namanya di Wellington. Kandungan surat ditulisnya banyak kesalahan tatabahasa – adakah ini yang anda harapkan daripada seseorang yang bergelar doktor?,” tulis pengguna Twitter itu, semalam memberi komen kepada beberapa laporan berita yang disiarkan agensi antarabangsa.

    Pengguna Twitter lain juga menganggap tindakan Robertson sebagai mempunyai ‘muslihat’, dan menyifatkan beliau tidak mempunyai hak untuk menentukan uniform mana-mana syarikat penerbangan.

    Bagaimanapun, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang secara rasmi mengesahkan mengenai identiti wanita itu. Namun, siapa pun wanita itu, semua syarikat penerbangan dalam negara perlu mengambil “teguran” beliau secara positif, dan tidak cepat melatah.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Identiti Doktor Dari NZ, Tulis Surat Kritik Pakaian Seksi Pramugari Malaysia Diragui "