• Hobi Kambing Makan Kertas

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    MAKASAR - Pulau Puteanging di Kampung Lasitae adalah salah sebuah destinasi pelancongan popular yang terdapat di Kabupaten Barru.

    Ia bukan sahaja terkenal kerana nilai eksotik bawah air, namun keunikan kambing di kawasan itu yang gemar makan kertas, wang dan plastik bungkusan makanan turut menjadikannya daya tarikan pelancong.

    Menurut penduduk tempatan, Halijah, keunikan kambing di pulau tersebut adalah disebabkan keadaan semula jadi yang sukar untuk mencari rumput.

    "Haiwan tersebut dibenarkan berkeliaran tanpa penjagaan khusus. Tiada rumput yang tumbuh di sini. Jadi kambing yang dilepaskan secara bebas sering makan sampah kertas yang bertaburan sebagai pengganti rumput.

    "Lama-kelamaan, ia makan kertas sebagai hobi. Meskipun begitu, kambing di sini tidak pernah sakit dan dagingnya juga sedap dimakan," katanya.

    Disebabkan hal itu juga, penduduk tempatan menjadi bimbang dan sering menutup pintu rumah bagi mengelakkan kambing masuk dan makan barangan yang diperbuat daripada kertas.

    "Pernah satu ketika, kad keluarga seorang penduduk hilang dan dimakan kambing. Ada juga wang kertas pelancong jatuh dan 'diragut' dengan rakus oleh haiwan itu," menurut Halijah.

    Katanya lagi, oleh kerana tabiat pelik kambing di sini telah diketahui umum, ramai pelawat dalam dan luar negara memberi makan kambing di Pulau Puteanging dengan kertas yang dibawa oleh mereka. - Liputan 6

    Subjects:

  • No Comment to " Hobi Kambing Makan Kertas "