• Hina Sultan Pahang, Mahfuz Dipanggil Beri Keterangan

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+
    ALOR SETAR 18 Jan. - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dekat sini bagi membantu siasatan terhadap beberapa laporan polis dibuat ke atasnya berhubung kenyataan kontroversi yang dikatakan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

    Ahli Parlimen Bebas itu yang sehingga kini belum menyatakan pendirian untuk menyertai mana-mana parti, tiba di depan pintu pagar IPK kira-kira pukul 10.15 pagi dengan disambut kira-kira 10 penyokongnya sambil ditemani peguam Mohd. Fikri Abd. Rahman.


    Dalam sidang akhbarnya sebelum memasuki pekarangan bangunan itu, Mahfuz terus mempertahankan yang beliau tidak melakukan sebarang penghinaan terhadap Sultan Pahang biar pun sudah meminta maaf kepada pihak istana terutamanya baginda Sultan dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menzahirkan kemurkaan terhadap perkara itu, semalam. 


    “Tiada langsung tujuan dan niat untuk bangkitkan penghinaan dalam isu ini. Yang penting, saya simpulkan bahawa umur bukan penghalang untuk seseorang menjadi pemimpin atau ketua. 


    “Tiada perkataan menghina tetapi ini adalah kejahatan Pemuda UMNO yang ‘pusing’ cerita. Tiada perkataan yang saya nafikan tuanku sultan malah kalau anda ambil satu lagi ucapan saya ketika berceramah bersama Tan Sri Muhyiddin di Jerlun sehari sebelum itu, saya katakan saya berdoa untuk kesihatan baginda,” dakwanya. 


    Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Assistant Komissioner Mior Farid Al Atrash Wahid memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


    “Jabatan siasatan Jenayah negeri hanya membantu untuk merakamkan percakapan beliau ekoran satu siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pahang,” katanya. 
- UTUSAN

    Subjects:

  • No Comment to " Hina Sultan Pahang, Mahfuz Dipanggil Beri Keterangan "