• Hati-hati Maklumat Berunsur Fitnah Di Media Sosial

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+


    PASIR MAS - Pengguna internet perlu berhati-hati terhadap maklumat yang ditularkan di media sosial supaya tidak terperangkap dengan maklumat berunsur fitnah terhadap kerajaan BN, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

    Beliau berkata, maklumat yang disebarkan melalui media sosial tidak semuanya sahih dan benar, khususnya ketika negara di ambang pilihan raya umum ke-14.

    "Hentikanlah menyebar perkara yang berunsur fitnah, saya nampak perbuatan menyebarkan fitnah seperti makanan ruji kepada pihak sebelah sana (pembangkang) terutama apabila hampir pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Rantau Panjang di sini, hari ini.

    Beliau berkata, menabur fitnah dan janji kosong adalah taktik pembangkang untuk meraih sokongan pengundi pada sesuatu pilihan raya.


    Justeru, Jailani berkata sebagai masyarakat yang rasional dan bijak, mereka usah terpedaya dengan pelbagai janji pembangkang kerana pihak itu sukar untuk menunaikannya.

    "Tetapi BN adalah sebuah kerajaan yang membuat akujanji dan menunaikan janji,” katanya.

    Sementara itu, Jailani berkata sebanyak dua buah menara telekomunikasi telah siap dibina di kawasan Parlimen Rantau Panjang manakala lima lagi akan dibina di bawah program Menghubung Menyatu (CTU) yang dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tahun ini.

    Beliau berkata, di bawah program tersebut juga sebanyak 12 buah rumah telah berjaya disiapkan untuk penduduk miskin manakala sebanyak lapan buah lagi akan dibina tahun ini.

    Terdahulu, Jailani turut menziarahi warga emas yang menghidap kanser Asiah Latiff, 65, dan pesakit angin ahmar Arif Mohd Daud, 65, yang tinggal dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gual Periok.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yasim. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Hati-hati Maklumat Berunsur Fitnah Di Media Sosial "