• Hasrat Ke Syria Berakhir Ke Penjara

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelia sebuah kilang dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan cuba memasuki Syria melalui Tehran, Iran, dengan niat ingin melakukan perbuatan pengganas di Syria, tahun lalu.

    Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Awang, 42, selepas dia mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan.

    Azman memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa pada tarikh tangkap iaitu pada 21 Februari 2017.

    Dalam penghakimannya, Azman berkata tindakan seseorang yang berniat untuk berjihad pada jalan agama tetapi pada masa sama meninggalkan tanggungjawab terhadap keluarga adalah sesuatu yang salah.

    "Kamu pilih untuk berjihad dan pilihan kamu ini jika tercapai, kamu akan tinggalkan isteri dan anak-anak kamu.

    "Kemudian isteri kamu akan mengambil alih tanggungjawab terhadap anak-anak kamu," katanya.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Crystal Crown Hotel, No 3, Jalan Jambu Mawar, Jalan Kepong Utama di sini, pada jam 12 tengah hari, 21 Februari 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan sama iaitu 30 tahun penjara dan boleh dikenakan sebat.

    Mengikut fakta kes, Mohamad yang diwakili peguam Syahredzan Johan, telah menjual tanah lot rumah kepada abangnya dengan nilai RM15,500 untuk perbelanjaan berhijrah ke Syria.

    Pada 21 Februari 2017, Mohamad bersama kenalan warga Indonesia, Anwar, ditahan di hadapan sebuah hotel selepas berbincang mengenai rancangan untuk masuk ke Tehran, Iran dan menyusup masuk ke sempadan Syria dengan menggunakan laluan darat yang akan diuruskan oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

    Syahredzan, dalam rayuannya, memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kurang dari lapan tahun kerana ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia tidak mempunyai rekod jenayah.

    "Anak guam saya telah insaf dan kesal dengan tindakannya, dia juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh penahanan," katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurfaida Mohd Rashidee, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat umum bahawa kesalahan berkaitan dengan kumpulan pengganas adalah kesalahan serius.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hasrat Ke Syria Berakhir Ke Penjara "