• Hanya Parti Kerajaan Hantar Senarai Calon Untuk Disaring

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hanya menerima senarai calon dari parti politik kerajaan untuk saringan menjelang PRU14.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, setakat ini tiada lagi parti pembangkang yang berbuat demikian.

    “Pembangkang setakat ini tiada, hanya parti politik kerajaan. Kita terima senarai ini dari semasa ke semasa,” katanya dalam temu bual ketika kunjungannya ke Sinar Harian, semalam.

    Menurut beliau, ketika ini tiada undang-undang yang mewajibkan calon PRU perlu lulus saringan SPRM sebelum bertanding.

    "Saringan calon dibuat secara sukarela dan SPRM akan menjaga kerahsiaan senarai yang diberikan. Selepas terima senarai, kita buat saringan dan kemudian kembalikan keputusan kepada parti politik.

    “Kita hanya bantu parti politik yang nak buat saringan ke atas calon-calonnya,” katanya.

    Katanya, SPRM juga tiada kuasa untuk menghalang mana-mana parti menampilkan calon yang mempunyai rekod rasuah.

    “Kita faham dari segi perundangan seseorang itu layak bertanding sehinggalah dia didapati bersalah oleh mahkamah dan dikekalkan hukumannya sehingga ke peringkat mahkamah persekutuan.

    “Sekarang pun dah ada yang kita tuduh dan nak dibicarakan. Tapi saya tak tahu lah sama ada mereka akan jadi calon lagi atau tidak.

    “Dari segi perundangannya tak boleh halang mereka dicalonkan sebab mereka layak walaupun dalam siasatan mahkamah. Itu undang-undang sekarang, kalau kalau kita nak ubah perkara tersebut kita kena ubah undang-undang lah,” katanya.

    Mengulas mengenai tindakan agresif SPRM bagi membanteras rasuah, Dzulkifli berkata, ia tidak menggambarkan rasuah di negara ini di tahap teruk.

    “Apabila tindakan itu dibuat secara agresif, maka nampaklah kes-kes yang disiasat dan dibawa ke mahkamah. Tetapi ia bukan refleksi bahawa kedudukan rasuah itu teruk sangat seperti digembar gemburkan.

    “Ini kerana rasuah itu dah berlaku lama, cuma sebelum ini aspek penguatkuasaan tidak nampak agresif. Seperti yang saya janjikan sebelum ini, kalau boleh setiap minggu kita mahu ada siasatan dan persetujuan daripada Peguam Negara untuk membuat pertuduhan di mahkamah,” katanya. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Hanya Parti Kerajaan Hantar Senarai Calon Untuk Disaring "