• Gantian Cuti Rehat dibayar tunai

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA 5 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan Gantian Cuti Rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan oleh penjawat awam adalah kekal sebanyak 150 hari dan akan dibayar menerusi ganjaran wang tunai.

    Menurut kenyataan JPA, penjelasan mengenai bayaran untuk GCR tersebut telah diperjelaskan melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan (SPP) Bilangan 18 Tahun 2008.

    “Melalui SPP Bilangan 2 Tahun 2017 iaitu mulai 1 Januari 2018, kerajaan telah memutuskan bahawa jika cuti yang dikumpulkan bagi maksud ganjaran wang tunai melebihi 150 hari, maka cuti tersebut boleh dimohon untuk digunakan di tahun persaraan bagi maksud tertentu oleh penjawat awam,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang layak menikmatinya ialah pegawai lantikan tetap berpencen dan pegawai yang bersara wajib bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta mempunyai cuti rehat yang boleh dikumpul bagi tujuan GCR sebanyak 150 hari.

    JPA memaklumkan, bagi GCR yang melebihi 150 hari, lebihan cuti itu boleh digunakan sebagai cuti rehat, contohnya, jika jumlah cuti sebanyak 170 hari, maka 150 hari akan dibayar secara ganjaran wang tunai manakala baki 25 hari lagi akan digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

    “Kelulusan akan dibuat oleh ketua jabatan masing-masing dan lebihan 150 hari GCR boleh dipohon 12 bulan dari tarikh persaraan,” tegas kenyataan itu.

    Sebarang pertanyaan mengenai GCR boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853164 atau e-mel komunikasi@jpa.gov.my. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Gantian Cuti Rehat dibayar tunai "