• Filipina Ancam Larang Hantar Pembantu Rumah Ke Timur Tengah

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    MANILA – Presiden Rodrigo Duterte mengancam untuk mengharamkan ratusan ribu warganya bekerja sebagai pembantu rumah di Timur Tengah kerana dalam kalangan mereka menjadi mangsa rogol di Kuwait.

    “Ada satu lagi insiden berlaku kepada wanita, pekerja Filipina dirogol, bunuh diri. Saya akan menghentikan, mengharamkan warga Filipina bekerja di sana. Maafkan saya warga Filipina, anda semua boleh pulang,” katanya.

    Katanya, Kuwait merupakan sekutu Filipina dan meminta negara itu dan negara-negara Timur Tengah yang lain membuat sesuatu.

    Lebih dua juta warga Filipina bekerja di rantau itu – kebanyakannya menjadi pembantu rumah.

    Minggu lalu, Duterte turut mengancam untuk menghentikan penghantaran pekerja di Kuwait berikutan kes penganiayaan, eksploitasi dan kematian.

    Seramai empat warga Filipina meninggal dunia sejak beberapa bulan lalu kerana bunuh diri.

    “Boleh saya minta anda untuk melayan warga saya sebagai seorang manusia dengan penuh hormat?,” soalnya sebelum berlepas ke India.

    Sementara itu, Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano berkata, kerajaan negara itu memandang berat kes penganiayaan di Kuwait kerana statistik tidak pernah menipu.

    Terdapat lebih 200,000 warga Filipina bekerja di Kuwait dengan bayaran yang tidak setimpal seperti yang dijanjikan awal dan dianiaya.

    “Kami sudah menyatakan kebimbangan dan Kuwait pula melahirkan rasa terkejut dengan pengharaman yang dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Filipina Ancam Larang Hantar Pembantu Rumah Ke Timur Tengah "