• Fazley 'Segan' Dapat Tewaskan Martin Yan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, mencatat kenangan manis apabila berjaya menewaskan tukang masak tersohor, Martin Yan, 69, dalam pertandingan masakan yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hujung minggu lalu.

    Walaupun kejayaannya itu pencapaian membanggakan, apatah lagi cef ditewaskan olehnya juga ialah idolanya sejak kecil, namun Fazley, 39, mengakui beliau masih kerdil jika dibandingkan dengan tokoh masakan sarat dengan pengalaman berkenaan.

    "Pertandingan itu sebenarnya acara persahabatan sempena program masakan bersama kami, terbitan saluran Asian Food Channel (AFC), yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

    "Ia diadili oleh tiga juri dari Jepun dan masakan saya, sambal udang dua rasa, berjaya memikat hati mereka dari segi hiasan terbaik dan juga rasanya secara keseluruhan. Jujurnya, saya sendiri segan apabila diumumkan sebagai pemenang kerana pada saya, Martin tetap yang terbaik.

    "Dalam pertemuan bersamanya, sempat jugalah saya berguru dengan beliau. Saya belajar bagaimana hendak memotong seekor ayam dalam tempoh 16 saat. Dengan kepantasan itu, sehingga ke hari ini beliau sudah memotong tiga juta ekor ayam," kata juara MasterChef Selebriti itu kepada BH Online.

    Menurut Fazley lagi, 2018 juga adalah tahun untuk beliau terus memperkukuhkan jenamanya dalam bidang kulinari, dengan menembusi pasaran antarabangsa.

    "Jika sebelum ini tumpuan adalah di sekitar Asia, pada Julai nanti saya akan menjelajah Eropah pula bagi mempromosikan masakan saya. Kehadiran saya adalah atas undangan sebuah sekolah masakan terkenal di sana," katanya.

    Dalam perkembangan lain, Fazley juga akan merakamkan sebuah lagu Mandarin sebelum ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina. Video muzik bagi lagu berjudul Cinta Seluas Lautan dalam Bahasa Melayu itu pula akan dirakam di Taiwan.

    "Lagu itu juga akan dialih ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Buat masa ini, saya sedang belajar memperbetulkan sebutan dalam bahasa berkenaan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Fazley 'Segan' Dapat Tewaskan Martin Yan "