• Farid Kamil Lebih Tenang- Adik

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    PETALING JAYA - Pelakon Datuk Farid Kamil memberikan reaksi positif dan menjelaskan bahawa keadaan kesihatannya baik sejak direman selama empat hari sejak Jumaat lalu.


    “Alhamdullilah saya bersyukur kepada Allah semuanya berlangsung dengan aman,” ujarnya ringkas ketika ditemui media selepas mahkamah memutuskan tempoh reman terhadapnya disambung satu hari lagi.


    Sementara itu, adik kepada pelakon filem Tombirou, Fadzil Bahari Zahari menjelaskan bahawa emosi abangnya itu lebih tenang berbanding hari pertama direman.


    “Sebelum ini saya nampak dia sangat tertekan. Hari ini saya sangat lega apabila melihat keadaan fizikal dan emosinya dalam keadaan baik dan tenang. Mungkin kerana dia mendapat sokongan rakan artis dan pihak media,” jelasnya.


    Diminta mengulas mengenai perintah lanjutan reman terhadap Farid, Fadzil memberitahu, mereka sekeluarga bersedia memberikan kerjasama bagi melancarkan proses siasatan pihak berkuasa.


    “Siasatan untuk kes jenayah sudah selesai kini hanya tinggal siasatan berkaitan narkotik sahaja. 


    “Kalau boleh memang kami tidak mahu abang saya direman namun kami perlu memberi kerjasama yang baik agar siasatan lanjut dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.


    Dalam pada itu, Fadzil turut mewakili Farid dan keluarga mereka mengemukakan permohonan maaf kepada anggota polis dan orang awam yang terlibat dalam insiden Khamis lalu. 


    “Saya ingin menyampaikan daripada pihak Farid dan keluarga Dr. Zahari, kami memohon maaf kepada mangsa-mangsa yang terlibat seperti dalam laporan baru-baru ini,” katanya.

    Dalam pada itu, tempoh reman pelakon itu dilanjutkan sehari hari lagi bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menampar seorang anggota polis dan menyepak orang awam ketika berada di kaunter Cawangan Trafik, Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Farid Kamil Lebih Tenang- Adik "