• Farid Didakwa ‘Makan’ Dadah Ketika Berada Di IPD PJ

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Tetra Hydrocannibol ke dalam badan, dua minggu lalu.

    Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.

    Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Pada 16 Januari lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dan mengganggu tugas penjawat awam.

    Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon filem Tombiruo berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu

    Media tempatan melaporkan tertuduh yang kelihatan agak tenang ketika pertuduhan tersebut dibacakan dan beliau diwakili oleh peguam Athari Bahardi. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan Farid diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin namun majistret juga memerintahkan pasport beliau diserahkan kepada pihak mahkamah.

    Terdahulu, Farid tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9 pagi. Namun, beliau tetap berada dalam sebuah kereta sehingga dibawa ke kaunter pendaftaran kes oleh pegawai polis kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Selesai proses pendaftaran di kaunter, Farid yang turut ditemani adiknya, Fadzil, dibawa naik ke Mahkamah Majistret 1 untuk pendakwaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Farid Didakwa ‘Makan’ Dadah Ketika Berada Di IPD PJ "