• Era Untungkan Kroni Kapitalis Sudah Berlalu

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Era kroni kapitalis atau individu yang dekat dengan kepemimpinan negara sahaja mendapat projek kerajaan, sudah berlalu dan perubahan itu harus dikekalkan untuk kebaikan serta kepentingan rakyat.

    Penganalisis politik menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berada dalam landasan tepat dan tidak perlu terikut-ikut dengan cara yang hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

    Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata keterbukaan kepemimpinan Najib perlu dihargai serta diteruskan supaya peluang adil dan saksama diberi kepada semua pihak berkebolehan.

    "Era memberi kepada individu tertentu (kroni) mesti berakhir kerana banyak pihak, terutama dalam kalangan bumiputera, yang layak dan berkemampuan. Ini dilakukan Najib," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Mohamed Mustafa mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa program kepemimpinan terdahulu membawa beban tidak perlu kepada rakyat apabila hanya sekumpulan kroni kapitalis yang meraih kekayaan.

    Dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2018, Najib menegaskan kerajaan bawah pentadbirannya, berikrar menghentikan amalan itu, mengambil iktibar kesilapan lampau dan mendepani isu legasi kepemimpinan dahulu.

    Mohamed Mustafa bersetuju pendekatan kepemimpinan terdahulu hanya menguntungkan pihak tertentu dan membawa masalah tidak perlu kepada rakyat.

    Mengulas isu sama, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, menyifatkan setiap pemimpin ada cara dan gaya berbeza mendekati kelompok masyarakat.

    "Najib melalui transformasi nasional dan ekonomi memberi keutamaan kepada B40 serta M40. Pendekatan banyak memberi kesan kepada kelompok memerlukan melalui RMK-11 (Rancangan Malaysia Ke-11)

    "Itu perbezaan dengan kepemimpinan sebelum ini. Pendekatan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) lebih bersifat pembangunan fizikal saja berbanding Najib," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Era Untungkan Kroni Kapitalis Sudah Berlalu "