• Elvina Mohon Maaf, Gambar Peribadi Cetus Kontroversi

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    KERANA tindakan melulu individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik gambar percutian di Langkawi, pendatang baharu Elvina Mohamad teruk dikecam oleh peminat.

    Ketika kejadian, Elvina serta beberapa lagi teman rapatnya sedang bercuti di Langkawi bagi menyambut tahun baharu baru-baru ini.

    “Saya mengambil iktibar dengan penyebaran gambar bercuti bersama beberapa rakan di Langkawi, Kedah, sempena menyambut tahun baharu yang tersebar semalam.

    “Ia sebenarnya adalah koleksi peribadi dan tidak sangka pula boleh terlepas ke tangan orang lain,” katanya dipetik daripada BH Online.

    Gadis manis berusia 23 tahun itu turut memberitahu bahawa dia akan mengambil pengajaran atas apa yang terjadi ini agar ianya tidak berulang sekali lagi di masa akan datang.

    “Maafkan saya jika ia melanggar sensitiviti mana-mana pihak. Tujuan percutian itu adalah sekadar bercuti menyambut tahun baharu bersama rakan rapat dan tidak lebih daripada itu,” ujarnya lagi yang dikenali menerusi drama Imamkan Aku tahun lalu.

    Tambahnya, dia tidak mahu dikenali oleh peminat hanya kerana gosip liar seperti itu, sebaliknya biarlah namanya dikenali kerana bakat yang dia ada.

    Beberapa hari lalu, sebuah portal serta blog tempatan telah menyiarkan gambar percutiannya ketika di pusat peranginan tersebut dan ia menjadi sebutan peminat kerana anggap kelakuannya itu agak tidak sopan dan mencolok mata.

    Gadis itu turut mengakui bahawa dia sendiri yang memuat naik gambar tersebut tetapi ianya hanya dimuat naik di dalam akaun Instagram peribadinya.

    “Tidak sangka ada antara kenalan yang tidak bertanggungjawab mencurinya dari laman Instagram peribadi saya itu dan memberikan kepada blogger,” ujarnya lagi dipetik daripada Harian Metro.

    Sebelum ini, Elvina juga pernah terpalit dengan gosip yang mengatakan kononnya dia merupakan ‘kaki kelab’ dan turut dituduh mabuk di luar sebuah kelab hiburan.

    Namun perkara itu telah dinafikan oleh Elvina sendiri dan baginya tuduhan itu sangat tidak berasas.

    Biasalah tu bila dah bergelar selebriti, pasti akan ada mata-mata yang memerhati kemana sahaja. Itulah yang dikatakan asam garam menjadi orang terkenal ni kan. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Elvina Mohon Maaf, Gambar Peribadi Cetus Kontroversi "