• Ekonomi Luar Bandar Perlu Diubah, Tidak Hanya Bergantung Pada Pertanian

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    KUCHING: Kerajaan negeri akan mengubah ekonomi luar bandar menerusi kaedah industri, ekonomi digital tanpa hanya bergantung kepada pertanian, demikian tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata ekonomi luar bandar perlu diubah bagi mengekalkan kependudukannya sekaligus mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

    "Kita mungkin perlu membuat strategi berdasarkan peluang baharu yang diwujudkan oleh ekonomi digital.

    "Pada masa ini, kita mempunyai beberapa inisiatif strategik untuk ekonomi luar bandar seperti Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, Skim Penempatan Semula, Rimbunan Kasih, Program Pembasmian Kemiskinan, Pusat Transformasi Luar Bandar, Latihan ICT Desa, Pembangunan Tanah Agropolitan dan NCR," jelas beliau.

    Kata beliau, dalam membangunkan kawasan luar bandar, kerajan negeri juga sedang memoden dan mengkomersilkan sektor pertanian dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar termasuk menggunakan aplikasi teknologi digital.

    Tambahnya, ini termasuk penggunaan internet untuk pertanian pintar serta Pusat Kutipan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) termasuk e-dagang bagi pemasaran hasil pertanian. 

    Kerajaan negeri turut menubuhkan tiga agensi baharu iaitu Agensi Pembangunan Hulu Rajang, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara di bawah RECODA untuk menyelaras rancangan pembangunan serta memudahkan pelaksanaan program. - Sarawakiana.
  • No Comment to " Ekonomi Luar Bandar Perlu Diubah, Tidak Hanya Bergantung Pada Pertanian "