• Dua pegawai Imigresen didakwa seludup warga asing

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+


    SEPANG - Dua pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyeludup warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun lalu.

    Abdul Faiz Hannan Ibrahim, 24, dan Adly Affandy Abdul Rahim, 34, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod. Said.

    Tertuduh pertama, Abdul Faiz Hannan didakwa menyeludup migran dengan membawa masuk seorang lelaki Bangladesh yang dikenali Abdul Momen antara pukul 10.00 dan 10.30 pagi pada 20 November 2017.

    Adly Affandly pula berhadapan dua tuduhan iaitu menyeludup dua lelaki Bangladesh dikenali Md. Mosarof Harith dan Ashabdul Haque antara pukul 8.30 dan 9.30 pagi pada
    6 Disember 2017.

    Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di Kaunter Kawalan Masuk Udara, Aras 3, Balai Ketibaan KLIA.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan didenda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon agar kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Mahkamah kemudian membenarkan kesemua pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Abd. Faiz Hannan tidak diwakili peguam bela manakala Adly Affandy diwakili peguam Zafran Zafri Mohd. Zaini.

    Kesemua tertuduh sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (Sosma) sejak 17 Januari lalu. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Dua pegawai Imigresen didakwa seludup warga asing "