• 'Dr Mahathir Cuba Guling Perdana Menteri'

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis susulan pelbagai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, ingin menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Muhammad Rafii.

    Mengulas perkara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun, berkata Dr Mahathir membuat banyak kenyataan kebelakangan ini yang cuba mempengaruhi rakyat Malaysia untuk menggulingkan Perdana Menteri menerusi proses tidak demokratik.

    Katanya, beberapa bukti turut diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

    "Kita meminta pihak polis segera menyiasat tindakan dan usaha Dr Mahathir yang ingin menggulingkan Perdana Menteri.

    "Tindakan ini berbahaya dan boleh mengganggu-gugat keamanan serta kestabilan politik negara, maka itu sebabnya kami tampil membuat laporan polis," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan IPD Dang Wangi, hari ini.

    Khairul Azwan berkata, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir semata-mata untuk memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menjadi Perdana Menteri.

    "Kita nak rakyat tahu, Dr Mahathir nak gulingkan Perdana Menteri kerana dia nak jadikan anaknya sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Dr Mahathir Cuba Guling Perdana Menteri' "