• Dr M akan halang RCI Memali: PAS Kedah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    SIK: Usaha menuntut keadilan bagi mangsa tragedi berdarah Memali melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan terencat sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali sebagai Perdana Menteri.

    Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya percaya peluang untuk menggagalkan penubuhan RCI itu akan lebih luas sekiranya Dr Mahathir kembali mentadbir negara, sama seperti era pentadbiran beliau sebelum ini.

    Malah, beliau berkata kedudukan sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menutup kesilapan dan keterlanjuran melalui tragedi Memali, supaya ia tidak terdedah sehingga menjejaskan kredibilitinya.

    "Sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan Dr Mahathir Perdana Menteri, pastinya akan berlaku campur tangan bagi memastikan diri beliau bersih dari darah yang mengalir di bumi Memali.

    "Jika itu sahaja pilihan yang ada, sudah pasti Dr Mahathir akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menutupi semua bukti dan sudah pastinya kejadian seperti Ops Lalang akan berulang, tetapi dengan kaedah baharu yang lebih tersusun dan bahaya.

    "Sebenarnya penubuhan RCI perlu dilakukan sejak 1986, tetapi ia tidak diendahkan, maka cadangan mengadakan RCI selepas PRU-14 adalah bagi melindungi individu yang terbabit," katanya kepada BH.

    Tragedi Memali mengorbankan 18 nyawa membabitkan 14 orang awam serta empat anggota polis, manakala berpuluh yang lain cedera dengan kebanyakannya penyokong PAS, dengan kebanyakan yang terkorban ditembak ketika melindungi guru agama yang juga pemimpin PAS, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya, yang turut terkorban dalam tragedi itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tragedi Memali Kedah, berkata pihaknya sentiasa istiqamah bahawa RCI perlu segera dilakukan bagi membersihkan nama semua pihak terbabit, terutama mangsa dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu.

    Katanya, dalam insiden berdarah itu polis terpaksa berkorban atas kesilapan orang lain, manakala mangsa serta keluarga dipalit tuduhan sebagai pengganas dan sesat.

    "Seperti mana kerajaan simpati dengan nyawa empat polis yang terkorban, maka perasaan sama perlu diberi kepada 14 mangsa dan keluarga.

    "Saya yakin apabila RCI dilakukan dengan telus tanpa campur tangan, kebenaran akan terdedah dan individu yang bersalah akan diketahui," katanya.

    Mohammad Sanusi berkata, pihaknya yakin ramai yang mempertikaikan kertas putih berhubung kejadian itu yang dilakukan tanpa ada ketelusan dan direka demi menutupi kesalahan individu tertentu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dr M akan halang RCI Memali: PAS Kedah "