• Ditangkap Ketika Leka Bungkus Dadah

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    BANDAR SERI JEMPOL: Polis menahan tiga lelaki yang leka membungkus dadah dalam sebuah rumah di Kampung Peladang, Bahau di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata siasatan mendapati tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu, dipercayai membungkus dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar.

    Katanya, ketika serbuan kira-kira jam 5.51 petang, semua lelaki itu cuba melarikan diri termasuk terjun dari tingkap tetapi berjaya ditahan polis.

    "Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui sebanyak 19 peket lut sinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 21.5 gram. Turut dirampas sebuah motosikal dan wang tunai RM200," katanya di sini, hari ini.

    Muhd Nur Hishamuddin berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki yang positif dadah itu, mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

    Katanya, mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ditangkap Ketika Leka Bungkus Dadah "