• Didenda Gaji Pekerja Bawah Umur

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+

    AYER KEROH: Sebuah kilang barangan elektrik didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggaji seorang pekerja lelaki bawah umur dan gagal mematuhi waktu bekerja dibenarkan terhadapnya, April tahun lalu.

    Pegawai pengurus sumber manusia kilang yang terletak di Cheng, di sini, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

    Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan kepada seorang lelaki yang ketika itu berusia 17 tahun empat bulan, didakwa menggaji orang muda dan gagal mematuhi waktu kerja dibenarkan di kilang terbabit pada 27 April tahun lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6(1) (a) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14(1) akta sama, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Farah Syuhada Mustafa, yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah memberikan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh.

    Mahkamah mengenakan denda RM2,000 dan penjara 20 hari jika gagal membayar denda. Wakil syarikat itu membayar denda berkenaan.

    Mengikut fakta kes, JTK negeri menerima aduan berhubung majikan syarikat terbabit gagal mematuhi waktu kerja dibenarkan terhadap 46 pekerja berusia kurang daripada 18 tahun sebagai kategori Orang Muda, yang berjawatan operator pengeluaran bekerja syif malam dari jam 8 malam hingga 6 pagi keesokan hari, 19 Jun tahun sama. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Didenda Gaji Pekerja Bawah Umur "