• Data Derma Organ Bocor, Polis Cari Admin Lowyat.net

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil pentadbir forum teknologi popular Lowyat.net berikutan kebocoran data terbaru melibatkan 220,000 penderma organ Malaysia dan waris mereka.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sedang mengkaji kes itu.

    Fuzi bagaimanapun menyatakan bahawa adalah luar biasa bagi laporan mengenai kebocoran kedua-dua data itu semuanya berasal daripada forum tersebut.

    “Sebelum ini, forum itu melaporkan kebocoran data melibatkan 56 juta pengguna telco. Sekarang forum yang sama telah menunjukkan kebocoran data lain.

    “Sebahagian daripada siasatan adalah untuk menentukan sama ada laporan terbaharu itu datang dari sumber yang sama,” katanya semasa sidang akhbar pelancaran buku panduan penyelidikan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di sebuah acara di Sogo, di sini.

    Mengenai kemajuan terkini penyiasatan mengenai kebocoran data yang melibatkan pengguna telco, Fuzi berkata siasatan itu kini berada di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Semalam, Lowyat.net melaporkan bahawa butiran peribadi lebih 220,000 penderma organ dan waris mereka (NOK) telah dibocorkan dalam talian.

    Ia berkata data yang bocor mengandungi nombor MyKad, alamat rumah dan nombor telefon pengikrar dan waris mereka. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Data Derma Organ Bocor, Polis Cari Admin Lowyat.net "