• Dahlah Tak Sekolah, Hisap Dadah Pulak Tu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    Dua remaja bawah umur yang keciciran sekolah ditahan pada dua serbuan berasingan kerana memiliki dan mengambil dadah, semalam.

    Serbuan pertama Op Tapis dijalankan 6.30 pagi di sebuah rumah di Kuala Bekah, Teluk Air Tawar, Butterworth membabitkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) diketuai Inspektor K Tanapalan susulan aduan awam dan maklumat risikan.

    Pada serbuan itu, remaja lelaki berusia 16 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan dan polis menemui satu paket plastik mengandungi syabu di lantai.

    Ketua Polis SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan dia direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Beliau berkata, syabu dirampas seberat 0.2 gram itu bernilai RM40 dan ia untuk kegunaan sendiri.

    “Selepas itu, kami menyerbu rumah kedua di Permatang Janggus, Penaga 8 pagi.

    Pada serbuan itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan dan ujian air kencing turut mendapati dia positif methamphetamine.

    “Suspek kedua ini juga direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) ADB kerana memasukkan dadah dalam badan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Dahlah Tak Sekolah, Hisap Dadah Pulak Tu "