• Daftar Pemilih : Keputusan Bantahan Awal SPR 8 Januari

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan 48 pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung penggantungan kemasukan 949 nama ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017 di kawasan itu oleh SPR.

    Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata, bantahan awal itu dibuat dengan alasan kesemua 48 pemohon perlu menyelesaikan rayuan berhubung perkara berkenaan menerusi inkuiri tempatan sebelum mengemukakan permohonan di mahkamah.

    Beliau berkata, tindakan kesemua pemohon mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman ke mahkamah adalah pramatang kerana proses rayuan menerusi inkuiri tempatan masih berlangsung.

    Katanya mahkamah menetapkan 8 Januari untuk keputusan bagi bantahan awal oleh SPR terhadap permohonan yang difailkan Abdul Wahab Hassan dan 47 pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat itu yang merupakan pemohon dalam kes ini.

    Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar di hadapan hakim Datin Azizah Nawawi, yang turut dihadiri peguam Gobind Singh Deo yang mewakili kesemua pemohon.

    Gobind yang ditemui pemberita berkata terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan semua pemohon membuat permohonan di mahkamah walaupun inkuiri tempatan masih berlangsung kerana wujud keadaan istimewa yang membolehkan mereka berbuat demikian.

    Kesemua pemohon memfailkan semakan kehakiman itu pada 14 Disember 2017, menerusi Tetuan J.M Lee & Co, dan menamakan SPR dan Pendaftar Pemilih Negeri Johor Shafie Taib sebagai responden pertama dan kedua.

    Mereka memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan/atau pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama dengan sebarang tindakan yang timbul daripada dan/atau mengesahkan keputusan tersebut oleh responden dan/atau ejen dan/atau pekerja dan/atau pegawai mereka.

    Mereka juga memohon suatu deklarasi bahawa kemasukan dan/atau pengekalan 949 nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka mendakwa kemasukan dan/atau pengekalan nama-nama Orang Dibantah dalam RDPT adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Daftar Pemilih : Keputusan Bantahan Awal SPR 8 Januari "