• Daesh: Warga Indonesia Rancang Mahu Serang Bukit Aman

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Seorang warga Indonesia antara dua individu yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, menerusi tangkapan pada Rabu lalu itu, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan telah ditahan kerana merancang untuk melakukan serangan ke atas Bukit Aman dan Balai Polis Travers bagi merampas senjata api dari stor senjata api.

    “Suspek ini juga merancang untuk mencuri senjata api di lain-lain balai polis dan kem-kem tentera untuk digunakan dalam serangan di Malaysia dan Indonesia.

    “Malah, pada November tahun lalu, suspek ini telah membuat pemantauan di sekitar Jalan Pudu dengan bersenjatakan sebulah pisau bagi mencari mana-mana sami Buddha sebagai membalas dendam kekejaman terhadap Islam Rohingya, namun ianya gagal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


    Beliau berkata, suspek ini juga telah berbai’ah dengan seorang pemimpin kanan Daesh melalui aplikasi WhatsApp dan cuba merekrut beberapa warga Indonesia bagi menyertai kumpulan terbabit.

    Terdahulu, pada 23 Disember tahun lalu, seorang warga tempatan dan bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya telah ditahan di Petaling Jaya, Selangor.

    Beliau berkata, suspek pernah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada 9 November 2015 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan sebelum dibebaskan pada 9 November 2016.

    “Bagaimanapun, suspek berusia 25 tahun itu kembali aktif dalam kumpulan pengganas Daesh dan telah merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

    “Suspek turut merancang untuk merompak, menculik atau membunuh orang bukan Islam berasaskan kepada kefahaman beliau bahawa orang-orang bukan Islam di Malaysia adalah kafir harbi dan darah mereka halal untuk ditumpahkan,” katanya

    Beliau berkata, selain itu, suspek juga aktif mempromosikan ideologi salafi jihadi kumpulan pengganas Deash melalui Facebook miliknya bagi tujuan merekrut anggota baharu.

    Katanya, malah, suspek ini juga dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa bekas anggota Daesh dan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960.

    Kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).-SH

    Subjects:

  • No Comment to " Daesh: Warga Indonesia Rancang Mahu Serang Bukit Aman "