• Curi Syiling & Mainan Sekali

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Mesin jualan permainan yang banyak terdapat di kedai serbaneka atau kedai runcit di Ipoh kini menjadi sasaran pencuri.

    Dalam kejadian terbaru awal pagi semalam, mesin jualan permainan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Meru Permai, Ipoh dilarikan seorang lelaki.

    Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, kecurian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan yang menunjukkan seorang lelaki yang berpakaian baju warna hitam serta memakai topi mengangkat dan melarikan mesin terbabit.

    Pengurus kedai serbaneka My Station, Shahhul Hamed Sanudin berkata, kejadian curi mesin berkenaan adalah kali kedua berlaku di premis perniagaannya di cawangan sama.

    “Kes pertama berlaku pada Ogos tahun lalu dan pagi semalam, perkara sama terjadi lagi di mana pencuri melarikan rak menempatkan dua mesin jualan permainan yang diletak di luar kedai.

    “Mesin yang dicuri berkenaan saya temui pagi ini di padang permainan yang terletak kira-kira 100 meter dari kedai dalam keadaan sudah dipecahkan dengan semua duit syiling dan permainan sudah lesap,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Shahhul Hamed berkata, kejadian itu menambahkan lagi kebimbangannya terhadap keselamatan pekerjanya susulan pada 12 Oktober 2017, seorang pekerjanya dibelasah teruk sekumpulan penyamun yang hingga terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan parah di kepala.

    “Saya mempunyai tiga cawangan kedai serbaneka di sekitar Meru, Ipoh membabitkan kira-kira 10 pekerja dan kecurian memang sering berlaku dengan tiga daripadanya boleh dikatakan serius membabitkan samun bersenjata termasuk yang berlaku pada Oktober lalu.

    “Kejadian lain pula hanya membabitkan kecurian barangan jualan saja seperti susu, coklat dan barangan berharga lain yang sejak dari mula berniaga pada 2013 hingga kini boleh dianggarkan mengalami kerugian hampir RM10,000,” katanya.

    Menurutnya, penjenayah kini semakin berani dan tidak takut untuk mencuri atau menyamun walaupun premis perniagaannya dilengkapi CCTV.

    “Kami juga mengambil langkah keselamatan seperti mengunci pintu selepas 12 tengah malam, namun kes samun masih boleh berlaku.

    “Saya hanya boleh nasihatkan pekerja agar tidak melawan dan utamakan nyawa jika berlaku sebarang kejadian samun,” katanya.

    Shahhul Hamed turut berharap agar polis lebih kerap menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan sekitar kerana banyak premis perniagaan yang boleh menjadi tumpuan penjenayah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Curi Syiling & Mainan Sekali "