• Curi Jam Bernilai RM1,000, Penganggur Didenda RM2,500

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah mencuri beg plastik mengandungi jam tangan bernilai hampir RM1,000, dua minggu lalu.

    Hukuman denda itu diperintahkan Majistret Mahyudin Mohmad Som terhadap Mohd Alias Shafie, 44, sejurus pengakuan dibuat.

    Mahyudin memerintahkah tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri satu beg plastik mengandungi jam tangan bernilai RM980.50 milik Muhammad Rizuan Zulkaain, 28, di sebuah kedai di Lorong Haji Taib 4, di sini, pada jam 4.52 pagi, 4 Januari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan sabir kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan dia menanggung keluarga termasuk seorang anak menghidap kanser.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian ditanggung mangsa.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa meletakkan beg plastik mengandungi beberapa jam tangan di atas motosikal bersebelahan sebuah kedai.

    Selepas berurusan di dalam kedai, mangsa pergi mendapatkan beg plastik itu dan mendapati ia tiada disyaki dicuri. Melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan gambar tertuduh, anggota polis menahan lelaki itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Curi Jam Bernilai RM1,000, Penganggur Didenda RM2,500 "